• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Kampung Rantau Panjang Terengganu 2 Calon Tunggal Desa Lestari

Projek tanaman fertigasi cili.
DUNGUN, 29 Ogos - Kampung Tersusun Rantau Panjang yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Dungun menjadi antara calon tunggal Program Desa Lestari di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), sebaris dengan Kampung Telaga Batin di Kuala Nerus.

Dengan mempertaruhkan Projek Tanaman Fertigasi Sayur-sayuran dan Buah-buahan sebagai cadangan projek ekonomi yang bakal dibangunkan, ia diyakini mampu memberi manfaat kepada komuniti kampung tersebut.

Difahamkan, Program Desa Lestari yang diperkenalkan pada 2013 bertujuan menyediakan projek impak tinggi membabitkan penyertaan penduduk kampung. Manakala sistem koperasi yang diguna pakai dalam program berkenaan hanya membenarkan orang tempatan menyertainya atas faktor pengiktirafan, pengawalan dan pemantauan.

Nor Zakirah Mohd Zaid (kanan). Foto - Adli Mohamad
Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Rantau Panjang, Nor Zakirah Mohd Zaid berkata, bagi manfaat dan peningkatan taraf hidup penduduk kampung, kumpulannya berusaha semampu mungkin untuk mendapatkan kelulusan geran program berkenaan.

"Projek fertigasi yang dicadangkan merangkumi penanaman betik, serai, labu, cili dan timun. Ia tergolong dalam kumpulan hidroponik iaitu pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah. Kaedah fertigasi ini bersesuaian dengan persekitaran dan kawasan Kampung Tersusun Rantau Panjang.

"Penanaman boleh dilakukan secara tanaman tunggal (monokultur) atau dijadikan sebagai tanaman selingan di antara tanaman jangka panjang. Teknologi fertigasi merupakan teknik penanaman yang telah terbukti memberi kesan yang baik pada tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi temuduga dan lawatan tapak pencalonan kampung negeri Terengganu bagi pelaksanaan Program Desa Lestari 2019 di Kampung Tersusun Rantau Panjang, kelmarin.


Untuk rekod, bantuan geran Program Desa Lestari adalah bagi mewujudkan komuniti desa yang berpendapatan tinggi melalui penglibatan dalam pelbagai aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan yang semakin meluas di desa melalui platform Koperasi Komuniti dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Setelah melalui proses penilaian projek, jika diluluskan, kampung yang berjaya bakal mendapat perakuan Jawatankuasa Petugas Pelaksanaan Desa Lestari (JPP-DL) dan kelulusan Jawatankuasa Induk Pelaksanaan Desa Lestari (JIP-DL) untuk mendapatkan bantuan geran.



Tag: