• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kanak-Kanak Korban Pertama Banjir di Besut

KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun, Nur Hilwa Edrea Hariz Zaifan menjadi korban pertama banjir di Kampung Apal, Jerteh petang tadi. 

 Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Mohd Isa berkata, mangsa dipercayai keluar dari rumah melalui pintu belakang ketika ahli keluarganya sedang bersiap ke pusat pemindahan sementara (PPS) terdekat. 

“Mangsa terjatuh ke dalam air banjir sekitar rumah sedalam tiga kaki dan dihanyutkan arus sebelum dijumpai terapung selepas 40 minit pencarian dengan jarak 20 meter dari lokasi kejadian.

“Mayat mangsa telah dibawa ke hospital untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan. 
 

Mangsa Nur Edrea, 2

Rohaimi turut mengingatkan kepada semua pihak terutamanya ibu bapa agar lebih berhati-hati dan waspada terhadap keselamatan anak-anak. 

Semalam, Terengganu mula menerima taburan hujan lebat sehingga mengakibatkan beberapa kawasan telah dinaiki air.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, sehingga jam 6 petang, sebanyak 57 PPS telah beroperasi dengan jumlah mangsa seramai 2,862 orang.


Tag: