• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kanak-Kanak Taska Belajar Guna TV Pintar

KUALA TERENGGANU, 9 November - Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM700,000 bagi menyediakan sistem pembelajaran terkini, TS Kids atau TV Pintar di 68 Taska Permata Keluarga (TPK) mulai Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, melalui peruntukan yang ada itu pihaknya terlebih dahulu akan menyediakan kemudahan berkenaan di taska-taska terpilih secara berperingkat.

Katanya, sekiranya semua berjalan lancar, peruntukan itu akan ditambah bagi membolehkan seluruh kanak-kanak di 68 taska milik Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dapat merasai pembelajaran TS Kids.

“Saya lihat apa yang bakal diperkenalkan kepada kanak-kanak itu sangat berkesan kerana bukan sahaja dapat belajar secara berdepan, malah boleh sentuh, lukis, menulis dan padam.

“Boleh juga berinteraksi secara maya antara kanak-kanak di taska lain dan pastinya kanak-kanak sangat teruja untuk mencuba,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengadakan lawatan ke TPK Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Program), Kamarulzaman Awang berkata, TS Kids adalah program yang ditambah baik daripada skrin sesentuh kepada TV Pintar yang lebih mesra kanak-kanak.

“Kemudahan itu boleh sentuh, melukis dan pandam, malah boleh berinteraksi secara dalam talian antara guru dan kanak-kanak di taska lain menggunakan aplikasi Google Meet.

“Apa yang mahu dilaksanakan itu pastinya  boleh menguatkan daya ingatkan kanak-kanak berbanding kaedah kad imbas yang biasa digunakan sebelum ini,” katanya.

Katanya, beliau percaya kaedah itu pastinya diminati kanak-kanak dan  lebih bersemangat untuk meneroka ilmu.

“Lebih penting, lebih berdisplin, fokus serta mampu duduk diam kerana teruja mendengar suara, melihat setiap pergerakan gambar atau abjad apabila disentuh guru atau rakan,” katanya.

 


Tag: