KUALA TERENGGANU, 13 Disember – Penantian Nurul Ain Bakri, 33, ibu kepada Muhammad Sufi Eijas Sobre, 3, yang terjatuh di tali air Kampung Kebor Besar, Manir, di sini, berakhir apabila ditemukan lemas pada pukul 11.34 pagi tadi.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Mazimi Mohamad, berkata mayat kanak-kanak terbabit ditemui pasukan pencari dan penyelamat dalam keadaan terapung di permukaan air kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.
"Mayat kanak-kanak terbabit kemudian dibawa ke darat sebelum diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk bedah siasat.
“Ketika ditemui oleh pasukan menyelamat, mayat Muhammad Sufi Eijas dalam keadaan terapung dan sempurna sebelum dibawa naik serta diserahkan kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Menurutnya, seramai 68 anggota termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela dan penduduk kampung menyertai operasi carilamat sejak petang semalam.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari ini,” katanya,
Dalam kejadian jam 4 petang, semalam, Muhammad Sufi Eijas dipercayai terjatuh ke dalam tali air sedalam enam meter ketika bersiar-siar melihat air banjir bersama bapa, Mohd Sobre Ramli, 33 bersama dua lagi adik beradiknya.