• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kanak-Kanak Tiga Tahun Lemas Terjatuh Dari Rumah Bot

HULU TERENGGANU, 16 Oktober - Malang tidak berbau apabila seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ditemukan lemas selepas terjatuh dari sebuah rumah bot di di Air Terjun Sungai Lasir, Pengkalan Gawi,Tasik Kenyir, semalam.

Dalam kejadian jam 8.20 malam, mangsa Muhammad Al Fateh Muhammad Khairul Aiman yang tinggal di Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu sedang bercuti bersama ahli keluarganya. 

Ketua Polis negeri, Dato' Rohaimi Md. Isa berkata, kejadian itu berlaku ketika bapa mangsa Muhammad Khairul Aiman Mohd Ariffin, 30,
sedang ambil air sembahyang untuk solat Isyak sebelum dimaklumkan anak bongsunya terjatuh ke dalam tasik berkenaan.

"Salah seorang kakitangan rumah bot berkenaan telah terjun dan berjaya menyelamatkan kanak-kanak ini namun mangsa tidak sedarkan diri lalu diberi bantuan pernafasan.

"Mangsa dibawa ke jeti Pengkalan Gawi menggunakan bot laju dan diberikan bantuan pernafasan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di jeti berkenaan
namun disahkan meninggal dunia pada jam 10.48 malam," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan pematuhan SOP di Tasik Kenyir, di sini hari ini.

Rohaimi berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu bagi tujuan bedah siasat.

Justeru itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa untuk peka dan memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.