• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kanser Hati Hantui Keluarga Mad Nah

Oleh: Mohd Haniff Abas

KUALA NERUS, 28 Julai - Mohammed Muhammed Min atau lebih dikenali sebagai Mad Nah, terpaksa redha dengan ketentuan Ilahi apabila kehilangan dua orang tersayang dalam tempoh dua bulan yang lepas kerana kanser hati.

Kehilangan pertama dirasai apabila isterinya, Minah Salleh, 60, yang pada mulanya hanya menghidap sakit batu karang dalam hempedu, meninggal dunia pada Mei lalu setelah diketahui menghidap kanser hati tahap tiga melalui ujian darah yang dilakukan.

“Pada mulanya arwah hanya buat rawatan laser untuk buang batu karang dalam hempedu sebanyak tiga kali pada akhir tahun lepas, namun kesihatannya mula merosot selepas itu. Kakinya bengkak dan matanya kekuningan.

“Kesihatannya makin merosot selepas seminggu dimasukkan ke hospital. Bila ujian darah dan x-ray dilakukan, barulah diketahui arwah menghidap kanser hati tahap tiga," ujar beliau.

Menurutnya, arwah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir genap sepuluh hari selepas diketahui menghidap penyakit berkenaan.

Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, keadaan yang sama pula menimpa anaknya, Mohd Hasrulhisham Mohammed, 34, yang turut menghidap batu karang dalam hempedu.

Hasrulhisham turut mengalami gejala yang sama iaitu bengkak kaki dan mata kekuningan, genap sebulan selepas pemergian ibunya.

"Selepas diketahui menghidap kanser tahap tiga seperti arwah ibunya, kami juga ikhtiar anak saya berubat cara kampung.

"Alhamdulillah nampak sedikit perkembangan positif selepas berubat, tapi tidak lama. Kesihatannya juga merosot dan akhirnya meninggal pada minggu lepas," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diziarahi oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Ridzuan Hashim di rumahnya di Kampung Tetambah, baru-baru ini.

Mad Nah telah disaran oleh pihak hospital untuk membuat pemeriksaan kesihatan berikutan kehilangan dua orang ahli keluarga atas sebab yang sama..

Mengulas tentang keadaan Mad Nah, kata Ridzuan, beliau bersimpati di atas nasib yang menimpa.

"Besar ujiannya kehilangan dua orang ahli keluarga dalam masa yang singkat. Semoga Mad sekeluarga dapat menjalani hidup dengan penuh tabah, diiringi kesejahteraan serta sentiasa mendapat redha Ilahi," ujarnya pada akhir pertemuan.


Tag: