KUALA TERENGGANU - Skim empangan hidroelektrik Tasik Kenyir dimiliki Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat pada musim tengkujuh tahun ini.
Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti berkata paras air di empangan berkenaan telah diturunkan sejak Julai lalu sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut pada kali ini.
"Antara yang dilakukan termasuk pengurusan paras air empangan melalui pelepasan terkawal dan pemeriksaan menyeluruh di stesen janakuasa dengan mengoptimumkan penggunaan air secara sasaran draw-down.
"Paras air telah diturunkan secara terancang ke paras minimun sebelum bermulanya musim tengkujuh dengan mengambil kira keperluan operasi supaya keupayaan penjanaan elektrik masih boleh dilkukan.
"Pelan pelaksanaan banjir secara menyeluruh telah dilaksanakan selaras dengan pendekatan syarikat dalam mempertingkatkan komitmen dalam usaha berkaitan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam memacu perjalanan peralihan tenaga bertanggungjawab,"katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) agar mendapat maklumat tepat mengenai ramalan kaji cuaca serta taburan hujan.
Selain itu turut menjalankan latihan pengungsian dan melaksanakan ujian tahap ketersediaan bersama agensi kerajaan yang terbabit dengan pengurusan bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Tambah beliau, TNB Genco turut memberikan jaminan empangan hodroelektrik milik syarikat TNB itu berada dalam keadaan baik dan selamat.