• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Karnival TMBS Ruang Promosi Produk, Institusi

KUALA NERUS, 25 Jun - Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh memberi ruang promosi buat peniaga, institusi pengajian serta agensi kerajaan. 

Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI), Wan Muhammad Hanif Wan Nasran, 22, merakamkan penghargaan kepada urus setia kerana membenarkan pihaknya mempromosikan KUDQI kepada orang awam. 

“Dengan ruang reruai yang diberikan ini, kami mampu memperkenalkan kolej (KUDQI) kepada masyarakat.

“Pada masa yang sama, kami mengambil peluang untuk membuat jualan karya Almarhum Dato’ Harun Taib serta kitab-kitab yang ditulis oleh tenaga pengajar KUDQI,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman di Tapak Karnival di Dataran Pasar Malam Gong Badak, di sini hari ini. 

Sementara itu, seorang peniaga, Ahmad Souffi Yusof, 39, berkata program seumpama itu memberi ruang buatnya melebarluaskan produk sendiri iaitu pes asam boi. 

“Pes ini saya buat sejak 2013 secara main-main, namun permintaan amat positif daripada orang ramai membuatkan saya fokuskan sepenuh masa membuat pes ini.

“Sekarang produk ini telah dipasarkan di beberapa premis seperti PXR Bukit Tunggal dan Pasaraya Wahab Abdul Kadir di Kelulut,” ujarnya. 

Ahmad Souffi berharap dengan penganjuran karnival seumpama TMBS membantu peniaga seperti beliau memasarkan produk tempatan selain memberi penerangan tentang pencapaian kerajaan. 

Karnival TMBS DUN Tepoh diadakan selama tiga hari bermula Khamis dan tamat pada hari ini. 

Selain DUN Tepoh, DUN Chukai turut mengadakan program sama bagi memberikan penerangan berkenaan aspirasi kerajaan negeri dengan penyertaan agensi kerajaan dan anak syarikat milik negeri.

 


Tag: