• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

KASA Kenal Pasti 50 Lokasi Bagi Bina Empangan Sabo

DUNGUN, 22 September - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti 50 lokasi  berisiko insiden kepala air  di seluruh negara bagi membina empangan kecil di tempat berbukit atau Empangan Sabo.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pembinaannya berupaya mengurangkan impak banjir serta kejadian kepala air atau aliran puing di kawasan tersebut.

Katanya, empangan Sabo ini adalah empangan kecil dalam aliran sungai itu, dan apabila berlaku insiden seperti kepala air, kayu akan tersekat, tidak akan menghilir.

“Keadaan itu akan membantu dalam mengelakkan kemusnahan besar kepada kawasan di bawah seperti yang terjadi dalam tragedi kepala air yang kerap berlaku di beberapa kawasan sekiranya hujan lebat,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas  melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun, di Dewan Sivik Bijangga, Kuala Dungun, di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, Tuan Ibrahim turut mengarahkan semua jabatan dan agensinya membuat pemantauan persiapan banjir yang dijangka tiba tidak lama lagi.

Beliau berkata tindakan itu diambil bagi  memastikan  semua aset dapat digunakan sekiranya berlaku banjir nanti.

“Ini termasuk pemasangan pam air, penyelenggaraan pintu air dan kerja-kerja mendalamkan kawasan takungan air di kawasan berisiko banjir di seluruh negara.

 “Di kawasan rekreasi juga, kita arahkan memasang  siren amaran banjir untuk memberi maklumat awal kepada pengunjung supaya mereka bersiap sedia,”ujarnya.