• 08 Mei 2021 | 26 Ramadhan 1442

KASA Tekad Selamatkan Pantai Berpasir Di Terengganu

KUALA NERUS, 4 April – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta kerajaan negeri tekad mahu memelihara keindahan pantai berpasir di Terengganu melalui beberapa strategi termasuk melaksana kajian mendalam.

Menteri KASA, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usaha itu sentiasa berjalan namun hakisan teruk memaksa penggunaan kaedah pemecah ombak (breakwater) menyebabkan kehilangan pantai pasir di beberapa kawasan.

“Oleh itu, kajian terperinci perlu diperhalusi dalam mengelakkan kehilangan pasir kerana ia sebahagian daripada nikmat negeri ini.

“Melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sebuah modul baharu dibangunkan yang telah dibentangkan dalam Majlis Air Negara baru-baru ini tentang risiko hakisan pantai tentang bagaimana kita perlu lakukannya.

“Pantai perlu dibekalkan dengan pasir cukup, paling tidaknya di kawasan muara dimana banyak pasir mesti ditambung balik, ini kaedah yang ditumpukan JPS,” katanya kepada pemberita selepas program Ekspedisi Sungai Nerus 2021 di Jeti Kampung Tanjung Sabtu, semalam.

Mengulas tentang dua keutamaan dalam memelihara khazanah alam tersebut, Tuan Ibrahim menerangkan, pertama adalah fokus keselamatan di muara dan kuala buat para nelayan untuk keluar masuk di beberapa muara dalam negeri.

“Contohnya insiden di Muara Kuala Dungun, beberapa nelayan mati kerana kapal dipercayai terdampar di pasir mengakibatkan kapal terbalik dipukul ombak.

“Kedua, kita perlu pastikan pasir yang diambil akan dipulangkan kepada pantai semula supaya pantai itu kekal indah,” katanya lagi.

Tambah beliau, antara projek yang sedang dijalankan dibawah kementeriannya bersama kerajaan negeri di Kuala Nerus adalah seperti projek tebatan banjir Kuala Terengganu Utara di kawasan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebanyak RM10 juta.

“Selain itu, projek pengawalan hakisan Pantai Kuala Nerus berjumlah RM90 juta, kerja-kerja pengawalan hakisan pantai di kawasan Sungai Kampung Telipot dalam RM6.2 juta.

“Keempat, kerja-kerja pengawalan hakisan tebing Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Maras kira-kira RM600 ribu, pengawalan hakisan tebing pantai Kampung Tanjung Gelam berjumlah RM250 ribu, sistem tebatan banjir dan pencegahan hakisan pantai di UMT RM40 juta dan RM87 juta untuk projek tebatan banjir Tok Jiring,” ucapnya.