• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kastam Guna Kamera Badan Pantau Salah Laku, Rasuah

KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memastikan setiap  penguat kuasanya dilengkapi kamera badan bermula Jun ini.

Ketua Pengarahnya, Dato' Abdul Latif Abdul Kadir berkata usaha itu bagi meningkatkan integriti dan mengelakkan budaya salah laku dalam kalangan penjawat awam terbabit.

Katanya, pada peringkat awal ia akan membabitkan lebih 100 anggota.

"Melibatkan pegawai yang bertugas di lapangan terbang, stesen-stesen di sempadan, pelaksanaannya adalah secara berperingkat serta ia melibatkan bajet yang akan besar dengan kos melibatkan jutaan ringgit, ia sedang dalam proses perolehan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih Keluarga Malaysia (Corporate Social Responsibility) Jabatan Kastam DiRaja Terengganu Bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, di Sekolah Kebangsaan Bukit Bayas, di sini pada semalam.

Dalam majlis yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu,Tengku Seri Bijaya Raja, seramai 88 asnaf dari Mukim Bayas, Sungai Derhaka dan Seberang Baroh telah menerima sumbangan berupa bekalan makanan harian serta lima orang daripadanya menerima kerusi roda.

Selain itu, replika cek berjumlah RM10,000 telah diserahkan kepada pihak Masjid Bukit Bayas serta RM5,000 kepada SK Bukit Bayas.

Menurut Abdul Latif program berkenaan merupakan salah satu program yang dilaksanakan oleh pihaknya pada setiap tahun dan pada kali ini kampung berkenaan telah dipilih.

"Program khidmat bakti masyarakat ini adalah satu inisiatif yang dibuat untuk memberi sumbangan khidmat bakti kepada mereka yang memerlukan bantuan di samping mendekati masyarakat setempat bagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara agensi kerajaan dengan masyarakat.

"Selain itu, program ini juga bertujuan memberikan pendedahan kepada komuniti berkenaan peranan JKDM dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan berkenaan segala akta yang dikuatkuasakan oleh pihak kastam, pihak JKDM juga sentiasa peka dan prihatin kepada masyarakat yang memerlukan bantuan," ujarnya lagi.

 

 


Tag: