• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kaum Wanita Diseru Kuasai Silat

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 14 Disember - Golongan wanita diseru supaya menguasai ilmu persilatan bagi mempertahankan diri daripada berhadapan dengan situasi yang membahayakan keselamatan diri.

Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, langkah itu juga mampu menangkis tanggapan bahawa wanita adalah golongan yang lemah dan mudah diambil kesempatan.

"Berita ragut, rogol dan bunuh sering kali terjadi kepada kaum hawa, mereka dijadikan sasaran kerana dianggap lemah dan mudah diambil kesempatan.

"Justeru, kita lihat seni silat boleh mempertahankan diri dan keluarga termasuk di kalangan wanita, golongan wanita pada hari ini mesti menjadikan dunia seni silat ini sebahagian rutin kehidupan mereka," jelasnya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kenaikkan Bengkung Pusaka Gayong Peringkat Negeri 2020 Zon1 di Madrasah Darul Iman, Bukit Payung baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menggunakan seni warisan melayu itu hanya untuk bermegah-megah dan mencari lawan.

“Tetapi gunakanlah ia untuk mempertahankan diri dalam keadaan suasana masyarakat sekarang ini.

"Saya juga berharap seni mempertahankan diri itu menjadi satu perkara yang penting dalam kehidupan anak-anak muda agar mereka tidak menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah," tambah beliau.


Tag: