• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kayuhan Merdeka Terokai Marang Semarakkan Semangat Patriotisme

 

MARANG, 22 Ogos - Program Kayuhan Merdeka Terokai Marang menjadi medan terbaik untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata, aktiviti yang menjadi kesinambungan daripada program sebelum ini itu juga turut bertujuan untuk memperkenalkan keunikan produk dan lokasi menarik di daerah tersebut.

"Ini inisiatif terbaik bagi menyemarakkan lagi suasana bulan kemerdekaan di daerah Marang dengan mengibarkan Jalur Gemilang di sepanjang kayuhan yang bermula dari Dataran Marang sehingga ke Dataran Batu Putih dan berakhir di Kampung Jenang," katanya ketika merasmikan program itu hari ini.

Turut hadir sama dalam program itu, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fathil Abd Ghani.

Menurutnya, ia adalah kesempatan terbaik apabila imej atau budaya tersebut dapat ditonjolkan ketika Terengganu dikunjungi ramai tetamu.

"Mengambil kira limpahan pelancong domestik di musim PKPP ini, Program Jejak Budaya Marang 2020 telah tercetus bagi menggantikan Pekan Budaya yang menjadi program tahunan di seluruh Terengganu.

"Memandangkan situasi PKPP yang masih berkuatkuasa, orang ramai tertumpu kepada pelancongan domestik seperti di Pulau Kapas yang menerima kunjungan hampir 5,000 pelancong setiap minggu," katanya lagi.

Untuk rekod ujarnya, program itu diadakan selama sebulan bagi menarik pelancong ke daerah Marang khususnya yang bercuti di Pulau Kapas dan pengunjung luar untuk mengisi cuti mereka dengan pelbagai program menarik yang disediakan sepanjang berada di Terengganu.

"Sebanyak 13 program dan aktiviti menarik telah dijadualkan bagi program ini antaranya aktiviti kesenian, kebudayaan dan keunikan pelancongan di Marang seperti Night Fishing di Merchang dan Jenang, Sehari di Dataran Batu Putih, persembhan Dikir Barat, Rodat dan Busking, Demonstrasi Krafttangan, Sukan Rakyat serta banyak lagi program menarik", katanya.


Tag: