• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kayuhan Semarak Semangat Merdeka

HULU TERENGGANU, 1 September - Atas semangat patriotisme dan memeriahkan sambutan kemerdekaan ke-64 negara, seramai 12 pemilik basikal bergabung dalam program Kayuhan Santai DUN Ajil, semalam.

Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Adun Ajil membabitkan kayuhan sekitar Pekan Ajil sejauh dua kilometer bermula dari Taman Sakinah dan berakhir di Dataran bangunan ATC, Ajil.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, program kayuhan dijayakan untuk membangkitkan semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat setempat berikutan aktiviti berbasikal juga mampu menyatupadukan perbezaan politik di daerah ini.

“Aktiviti sebegini diyakini mampu mengeratkan hubungan masyarakat dan dapat mewujudkan semangat kesukanan dalam kalangan veteran, selain melahirkan warga Ajil yang sihat dan cergas.

“Memandangkan tiada sambutan Hari Kebangsaan akibat kekangan wabak Covid -19. Kita aturkan sedikit acara berbasikal dan agihan bendera Jalur Gemilang untuk pengguna jalan raya,” katanya ketika ditemui.

Maliaman juga berkata, selain memeriahkan lagi bulan kemerdekaan, penganjuran acara berbasikal itu diharap menyuntik kembali semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat yang dilihat semakin berkurangan.


 “Kita wajar berasa bangga mengibarkan Jalur Gemilang di mana-mana saja bagi membuktikan semangat cintakan negara dengan ikhlas.

"Ini yang cuba kami tekankan dalam kalangan peserta muda supaya golongan yang lahir selepas merdeka tidak alpa dengan arus kemodenan negara hingga terlupa pengorbanan pejuang negara mempertahankan tanah air,” katanya.