• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

KDN Digesa Bertindak Terhadap Akhbar Cina Cetus Sentimen Perkauman

Ahmad Amzad (tengah) bersama rakyat berbilang kaum di Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU, 23 September - Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa bertindak tegas terhadap sebuah akhbar berbahasa Cina kerana didakwa meniup sentimen perkauman melalui karikator yang disiarkan dalam akhbar berkenaan.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, KDN juga perlu menyiasat tindakan tersebut kerana ia dipercayai boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini.

"Saya menyeru semua rakyat Malaysia yang berbudi bahasa supaya mengecam penyiaran gambar yg diubah suai sebegitu rupa oleh sebuah akhbar berbahasa Cina.

"Ia adalah penyiaran tidak beretika, melampau dan biadab yang mengguris perasaan orang orang Islam, Melayu dan tidak baik dalam memupuk keharmonian antara kaum," jelas Ahmad Amzad dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Beliau yang  turut menyesali tindakan akhbar itu sambil menambah surat khabar yang diberi permit penerbitan bukannya menjadi agen memupuk keharmonian tetapi sebaliknya memilih untuk memanaskan lagi kebencian antara kaum dengan penyiaran gambar karikator diubahsuai yang kurang ajar itu.

"Di saat orang Islam dan Melayu dua parti terbesar Melayu Islam mengajak perpaduan ummah seluruh rakyat dan disahut parti MCA, MIC, DHPP, IKATAN  dan pelbagai kaum yang cintakan keharmonian, kestabilan dan perpaduan,  mereka memilih untuk menyinggung usaha ini dengan menyemai kebencian. 

"Saya sekeras-kerasnya mengutuk penyiaran berkenaan dan menuntut Kementerian Dalam Negeri melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya," tegas Ahmad Amzad.

Sebuah akhbar berbahasa Cina telah menyiarkan satu sketsa karikator yang menggambarkan dua orang pemimpin parti Melayu Islam berkahwin dan ia disifatkan sebagai satu tindakan biadab dan melampau.

Tag: