MARANG, 3 Oktober – Kadar pertumbuhan ekonomi negeri Terengganu (KDNK) dalam sektor perikanan meningkat sebanyak 9.9 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata ia satu jumlah peningkatan yang besar dan akan sentiasa berterusan.
Katanya, data dan fakta juga menunjukkan peningkatan dari segi pendaratan hasil laut.
“Untuk tahun ini, bermula daripada 5 Oktober kita akan turun lagi ke laut untuk melabuhkan tukun.
“Tahun ini kita ada sebanyak 45 lagi tukun yang akan diturunkan ke laut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Reef & Beach Clean up Taman Laut Pulau Kapas Bertempat di Taman Laut, Pulau Kapas semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dato’ Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof.
Tambah Dr Azman, manusia hanya berusaha dan yang memberi adalah Allah yang maha pemberi rezeki.
“Usaha manusia adalah asbab, jadi kita tengok apabila terdapat kekurangan dalam sumber perikanan kita akan atasinya secara berperingkat dari semasa-semasa,” katanya.
Beliau berkata, usaha tersebut akan terus berterusan supaya mendatangkan kegembiraan kepada nelayan-nelayan.
“Keceriaan itu mula ada pada wajah mereka dan kita harap ianya berterusan Insya-Allah,” ujarnya.