• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kebajikan Rakyat Lebih Utama Daripada Kepentingan Politik

KEMAMAN, 26 Oktober - Kebajikan rakyat tetap menjadi keutamaan sepanjang bergelar Ahli Parlimen walaupun Malaysia berhadapan dengan krisis kesihatan dan politik selama dua tahun, ujar Che Alias Hamid.

Mantan Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, secara keseluruhan beliau memperuntukkan sekurang-kurangnya RM4.5 juta kepada rakyat memerlukan di daerah terbabit.

Katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan antaranya sumbangan van jenazah, pemberian kelengkapan dan pengurusan masjid semasa COVID-19 berjumlah RM125,000 serta pengagihan bakul makanan.

“Ketika pandemik COVID-19 sekurang-kurangnya 4,000 bakul makanan diagihkan kepada rakyat Kemaman yang terjejas dengan pandemik di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen di sini melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurut Che Alias, bantuan RM300,000 untuk program Bantuan Bakul Makanan yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sangat membantu mengurangkan beban masyarakat.

"Kelainan di Kemaman, tambahan peruntukan RM100,000 bagi mencukupkan agihan setiap DUN dengan 1,000 barangan menjadikan 4,000 barangan diagihkan secara sama rata bagi mereka yang terjejas dengan pandemik ini.

"Dengan nilaian serta jenis barangan yang sama, JPKK tidak risau semasa agihan dilakukan kerana ia mengikut senarai yang telah dikeluarkan," katanya lagi.

Dalam masa yang sama katanya, selain 4,000 barangan dapur kepada seluruh JPKK di Kemaman, pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kemaman sebelum ini turut menyediakan barangan keperluan tambahan kepada mereka yang mungkin tidak tersenarai dalam agihan.

Tambah Che Alias, krisis kesihatan yang merisaukan rakyat ketika itu turut diberi perhatian, sehubungan dengan itu beliau menyalurkan dana sebanyak RM30 ribu bagi membantu orang ramai mendapatkan vaksin melalui pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach di kampung-kampung.

Mengulas mengenai perkembangan semasa politik, beliau mengharapkan supaya Ahli Parlimen yang dipilih rakyat nanti bertindak responsif kepada keperluan rakyat dan kebajikan rakyat tanpa memilih bulu.


Tag: