• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kebun Durian Terbiar Akan Dipulihkan

HULU TERENGGANU, 30 Ogos – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian akan membantu melaksanakan pemulihan dusun-dusun durian yang banyak terdapat di seluruh daerah dalam keadaan terbiar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata  justeru itu, Terengganu bakal memiliki lebih banyak durian kampung berkualiti tinggi, untuk dipasarkan secara lebih meluas setanding durian yang sudah dijenamakan.

"Dipenuhi dengan semak samun, tidak dihiraukan dari aspek pembajaan, pengairan sehingga pokok ini menghasilkan buah yang sangat rendah kualitinya dan terbukti apabila kita pulihkan, antara hasilnya, durian kampung berkualiti. Jadi durian kampung sebenarnya bukan jaguh kampung tapi jaguh antarabangsa.

"Apabila kita memberikan hak yang sepatutnya kepada pokok durian dari segi pembajaan, pengairannya, ia juga mampu menghasilkan buah pada tahap kualiti premium setanding dengan durian klon yang lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian pemberita di Pertandingan Durian Kampung Premium Peringkat Negeri Terengganu 2023 sempena Bulan Kebangsaan di Dewan Kompleks Pertanian Ajil, di sini hari ini.

Pada pertandingan itu, durian milik pekebun dari Marang diumumkan sebagai johan yang membawa pulang hadiah tunai sebanyak RM3,000 manakala naib johan dan tempat ke tiga masing-masing dimenangi pekebun dari daerah Besut dan Setiu dengan hadiah RM2,000 dan RM1,000.

Menurutnya, durian baka terbaik yang terpilih akan didaftarkan oleh Jabatan Pertanian Negeri sebagai variati baharu menggunakan kod nombor.

Tambahnya lagi,  perubahan minda adalah kunci kepada mereka yang ingin menjadikan durian sebagai satu sumber ekonomi.

“Bukan sekadar meneruskan kebun yang ditinggalkan oleh arwah tok, arwah ayah malah ada yang terbiar dengan semak samun cuma pergi tebas  setahun sekali bila durian mula berbunga.

“ Ini adalah kesilapan  yang telah berlangsung sejak puluhan tahun  lalu, dan kita perlu mengorak langkah ke hadapan sekiranya nak durian kampung dikomersialkan ke peringkat lebih tinggi,” ujar Dr Azman.