• 14 Mei 2024 | 6 Zulkaedah 1445

Kebun Nanas Tenggelam Dapat Perhatian - PP DUN Langkap


Oleh : Ariss Alias

SETIU, 8 Ogos – Kejadian Kelompok Nanas Bukit Kecil yang tenggelam mendapat perhatian Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Azmi Maarof.

Kejadian yang sering berulang apabila berlakunya musim tengkujuh ini menyebabkan sebahagian daripada kebun nanas di sini ditenggelami air dan memberi kerugian kepada pengusaha.

Salah seorang pengusaha tanaman nanas,Mazlan Ghani, 47, berkata air yang naik menyebabkan pokok nanas yang berdekatan parit dan sebelah bawah tenggelam seterusnya memberi kerugian besar kepada pekebun.

“Tanaman nanas yang terlibat ada dalam beberapa peringkat. Sekiranya anak pokok dalam usia empat hingga enam bulan, kerosakan pada anak nanas dalam sekitar 25 peratus sahaja.

"Bayangkan 10 ribu daripada 40 ribu anak pokok satu lot (2.5 ekar) terpaksa dibuang. Harga ladang RM2 untuk sekilogram (kg) buah nanas, sebiji nanas sekitar dua kg, didarabkan dengan 10 ribu anak pokok ialah RM40,000.. itu jumlah kerugian,” ujarnya.

Jelas Mazlan, sekiranya pokok nanas dalam peringkat mengeluarkan buah, pokok terbabit memang tidak dapat diselamatkan 100 peratus.

"Sebab itu kebanyakan pekebun kecil di kawasan yang sering tenggelam ini menjual anak pokok dalam usia muda kepada Perkampungan Konservasi Gajah Tasik Kenyir untuk dijadikan makanan,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa sesi lawatan ke Kampung Bukit Kecil sempena ziarah orang Miskin, Orang Kelainan Upaya (OKU), Sakit, Warga Emas dan Anak Yatim (MOSWAY) bersama Ahli Parlimen Setiu, Yang Berhormat Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir ke empat buah kampung di Mukim Chalok semalam.

Sementara itu, Azmi Maarof berkata beliau akan bawa permasalahan ini kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  Daerah Setiu bagi melihat sistem perparitan di kelompok nanas ini sama ada perlu diperbaiki atau tidak.

“Kita akan turut libatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Setiu untuk melihat ‘ Culvert ’ yang menghubungkan saliran sebelah kebun nanas dengan seberang jalan yang dikatakan punca utama aliran air tidak mengalir dengan baik apabila datang musim hujan nanti.”

“Mereka (pekebun) mendakwa kedudukan ‘Culvert’ ini agak tinggi dan sempit menyebabkan aliran air keluar perlahan. InsyaAllah saya akan berusaha untuk menyelesaikan isu ini," ujar beliau.


Tag: