• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kedai Gunting Rambut 'Uniseks' Tidak Perlu

KUALA TERENGGANU, 29 November – Kedai gunting rambut dan salon kecantikan 'uniseks' iaitu bercampur lelaki dan perempuan bagi penganut beragama Islam tidak perlu dilaksanakan di Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida MD Noor berkata perlesenan premis-premis tersebut perlu diteliti dengan lebih baik melalui syarat dan panduan yang ditetapkan oleh syarak.

"Kedai gunting rambut lelaki perlu diuruskan oleh lelaki sahaja, manakala wanita pula perlu diusahakan oleh kaum wanita sahaja.

“Isu tersebut sering mendapat aduan dan amat membimbangkan dalam kalangan masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sesi Perbahasan Enakmen Perbekalan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Tambah Zuraida, jika isu ini diabaikan maka akan memberikan imej negatif kepada semua pihak.

“Pengusaha berkenaan tidak seharusnya memikirkan keuntungan semata-mata dan perlu menunaikan tuntutan syarak dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berharap, agar pihak berwajib dapat membuat pemantauan terhadap premis-premis berkenaan supaya pelaksanaan syariah dapat direalisasikan dengan baik di negeri ini.

 


Tag: