• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kejayaan SPM Aset Penting Kepada Kerajaan

Oleh: Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 19 Februari- Kejayaan yang diraih para pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti merupakan satu aset yang sangat penting kepada kerajaan negeri.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, mereka merupakan bakal tenaga penting kepada pembangunan negeri selepas tamat pengajian nanti.

“Kejayaan para pelajar dalam peperiksaan SPM bukan hanya bersifat peribadi tetapi adalah kejayaan kepada keluarga, guru-guru dan juga sekolah. 

“SPM inilah menjadi titik tolak kepada kejayaan anak-anak pada masa akan datang kerana selepas ini, mereka akan menyambung ke pusat-pusat pengajian tinggi apabila lulus dengan cemerlang dalam ujian nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian Ketika bersiaran atas talian dalam Program Motivasi Santai bersama 111 calon SPM 2020 Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, Jerteh, di pejabat DUN Terengganu, kelmarin.

Sehubungan itu, beliau mendoakan kejayaan calon SPM dan menyeru orang ramai bersama merestui agar para pelajar diberi kekuatan, ketabahan dan ketenangan dalam menghadapi peperiksaan SPM pada 22 Februari ini.

“Kami (kerajaan) sangat memerlukan khidmat anda selepas ini bagi yang berjaya (menamatkan) dari pusat pengajian tinggi nanti.

“Apa yang ingin dicapai oleh kerajaan negeri ialah dengan visi untuk menjadikan negeri kita ini, negeri yang ‘Maju, Berkat dan Sejahtera’, Insya’Allah,” ujarnya.

Katanya, beliau ingin melihat pencapaian terbaik para pelajar dalam keputusan peperiksaan SPM yang menjadi penentu bagi melanjutkan ke mana-mana institut pengajian tinggi (IPT) sama ada swasta ataupun awam.

“Insya’Allah, secara peribadi saya akan memberi ‘penghargaan’ kepada mereka yang lulus dengan cemerlang dalam keputusan (SPM) ini nanti,” ujarnya.


Tag: