• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

Kejohanan Golf Amal MB Terengganu Raih Dana RM100,000

Dr. Samsuri ucap terima kasih atas sumbangan penaja dalam kejohanan golf amal.

PUTRAJAYA, 31 Mac - Penganjuran Terengganu Inc Classic: Golf Amal Menteri Besar Terengganu berjaya meraih dana sebanyak RM100,000 melalui penyertaan lebih 50 syarikat dalam acara tersebut.

Kejohanan yang julung kali diadakan itu berjalan lancar dengan penyertaan 144 peserta terdiri daripada agensi kerajaan negeri, swasta dan individu perseorangan dari seluruh negara.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan terima kasih kepada penyumbang dan berbesar hati dengan penganjuran kejohanan berkenaan.

"Objektif kejohanan amal kali ini adalah untuk mengumpul dana bagi menterjemahkan tanggungjawab sosial kita yang akan diagihkan kepada badan-badan yang layak dan sesuai.
Firdaus Ahmad menerima piala juara keseluruhan.

"Saya percaya walaupun dengan aktiviti sosial yang santai, tetapi sumbangan kita amat besar dan kita menyumbang kepada masyarakat yang lebih baik dengan cara masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan malam sempena kejohanan itu di Palm Garden Golf Club, IOl Resort, di sini, semalam.

Turut hadir menyertai kejohanan itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar dan mantan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak serta wakil-wakil penaja terlibat.
Mantan MB, Ahmad Said turut sertai kejohanan.
Dr. Samsuri yang merasmikan program itu awal petang semalam turut memaklumkan kemungkinan penganjuran kejohanan tersebut pada masa akan datang.

"Apa pun, ini adalah satu permulaan dan kita menerima respon yang baik atas penganjuran ini.

"Sekiranya ada permintaan lagi, mungkin kita boleh adakannya pada masa akan datang," katanya.

Pada malam berkenaan, Mohd Firdaus Ahmad yang mewakili WRA Resources Sdn. Bhd dinobatkan sebagai juara keseluruhan Terengganu Inc Classic.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000, dua tiket penerbangan pergi balik ke Jakarta dan piala kejuaraan.

Manakala, Roslan Ismail daripada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) memenangi cabutan bertuah utama berupa sebuah motosikal SYM Sport 110R.


Roslan bertuah bawa pulang motosikal.



Tag: