• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kejohanan Jet Ski Kembali Selepas 13 Tahun

HULU TERENGGANU, 29 Julai - Tasik Kenyir Jet Ski Championship 2022 menjadi acara pembukaan bagi Terengganu Inc Challenge Series (TICS) setelah kali terakhir diadakan pada 2009 di Pulau Poh, Tasik Kenyir. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata kumpulan anak syarikat negeri, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) menjadi penganjur utama kejohanan berprestij itu.

“Pihak kerajaan negeri melalui jabatan pelancongan telah menyerahkan sepenuhnya pengurusan Pulau Poh kepada Terengganu Inc. 

“Kita sangat mengalu-alukan penyertaan Terengganu Inc dalam memajukan industri pelancongan negeri, khususnya di Tasik Kenyir,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Tasik Kenyir Jet Ski Championship Challenge 2022 yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pulau Poh, di sini hari ini. 

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata acara Jet Ski menjadi salah satu daripada empat acara TICS bakal diadakan secara tahunan. 

“Selain itu, Mountain Bike dan Trail Run di sini (Tasik Kenyir) serta Monsun Ride di Setiu pada Disember nanti. 

“Kita turut bercadang untuk memasukkan acara demikian ke dalam kalendar pelancongan negeri, Insya-Allah,” tambahnya. 
 

Kejohanan Jet Ski itu turut mendapat penyertaan antarabangsa dari Singapura, Brunei dan Indonesia dengan 70 penyertaan dan menawarkan hadiah berjumlah RM50,950.

Pengunjung dari dalam dan luar negeri dijangka bakal memeriahkan penganjuran yang bakal berlangsung bermula hari ini dan berakhir 30 Julai nanti.


Tag: