• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kejohanan Kuda Lasak Bertaraf Dunia

SETIU, 16 Oktober – Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan Cup 2022 yang mendapat pengiktirafan Persekutuan Sukan Ekuestrian Antarabangsa (FEI) menerima penyertaan seramai 54 orang peserta dalam kejohanan bermula semalam.

KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan mencemar duli mengambil bahagian dalam kategori antarabangsa iaitu CEI 2*120 KM dan Baginda berkenan memakai jersi nombor 9.

Turut mencuri perhatian terdapat dua orang peserta antarabangsa daripada Thailand dan Singapura yang mengambil bahagian dalam kategori CEI 2*120 KM.

Bagi peserta kategori CEI 2*120 KM dan CEN 120 KM dikehendaki melalui lima landasan iaitu sejauh 25 KM, 30 KM, 25 KM, 20 KM dan 20 KM.

Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan Cup ini diadakan sekali dalam setahun dan sentiasa menjadi tumpuan oleh mereka yang meminati sukan kuda lasak daripada seluruh negara.

Dalam pada itu, tempat pertama dalam kejohanan ini akan menerima wang tunai berjumlah RM20,000 beserta trofi dan sijil, manakala tempat kedua pula menerima RM15,000 juga beserta trofi dan sijil penyertaan.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah menyempurnakan majlis pelepasan pada jam 5 petang bertempat di TIEP Lembah Bidong, Setiu di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

 


Tag: