• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kejohanan Kuda Lasak PDRM Tarik Lebih 145 Peserta

SETIU, 29 Januari – Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini meriah apabila menerima penyertaan seramai lebih 145 orang peserta.

KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan mencemar duli mengambil bahagian dalam kategori antarabangsa iaitu CEI 1*100 KM dan Baginda berkenan memakai jersi nombor sembilan.

Di samping, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut mengambil bahagian dalam kategori Cen 100 KM dengan jersi bernombor 87.

Turut mencuri perhatian kehadiran dua orang artis terkenal tanah air yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut iaitu Faizal Tahir dan Mawar Karim.

Bagi kategori 100 KM dikehendaki melalui empat landasan sejauh 25 KM, 30 KM, 25 KM dan 20 KM.

Manakala kategori 80 KM dan 40 KM dikehendaki melalui tiga dan dua landasan iaitu sejauh 25 KM, 30 KM, 25 KM dan 20 KM, 20 KM.

Jumlah kuda bagi Kategori Cen 40 KM dan Cen 80 adalah sebanyak 90 dan 26 ekor.

Manakala bagi kategori Cen 100 KM dan CEI 1*100 KM iaitu sebanyak enam dan 23 ekor.

Sementara itu, Faris Iskandar Mohamad Iskandar, 12 merupakan peserta termuda bagi kejohanan kali ini yang berasal dari Ipoh.

Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala PDRM ini julung kali diadakan di Terengganu dan mendapat tumpuan oleh mereka yang meminati sukan kuda lasak daripada seluruh Malaysia.

Dalam pada itu, pelbagai hadiah disediakan kepada pemenang dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani telah menyempurnakan majlis pelepasan Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama-sama Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pelepasan tersebut pada jam lima petang bertempat di TIEP Lembah Bidong, Setiu di sini semalam.

Kejohanan ini merupakan anjuran PDRM bersama Kerajaan Negeri Terengganu, Royal Terengganu Endurances Stable (RTES) dan Kumpulan Shapadu yang diadakan selama tiga hari.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: