• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kejohanan PUBGM 2021 Galak Perkembangan E-Sports Terengganu

KUALA TERENGGANU, 26 September – Kerajaan negeri komited memberi sokongan dan ruang kepada anak muda dalam perkembangan Sukan elektronik (e-sports) melalui penganjuran permainan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) Mobile dalam Program Karnival Esports Belia Terengganu 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penganjuran kali kedua sukan tersebut merupakan medium bagi mencungkil bakat anak muda di setiap daerah dalam arena e-sukan.

“Program anjuran Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) dan Department of culture and sport-Esport (DACSes) serta E-sport Malaysia Terengganu (ESM) berjaya menolak persepsi negatif terhadap bidang tersebut dengan diselitkan syarat-syarat dan garis panduan tertentu kepada peserta.

“Agama islam tidak menghalang apa-apa minat termasuk dalam sukan e-sport dengan memberi panduan terbaik untuk melakukan sebarang pekerjaan begitu juga apabila berhadapan dengan permainan e-sport ini.

“Kerajaan negeri mahu melihat anak muda di Terengganu berjaya menempa nama dalam apa-apa yang diceburi dengan jayanya,” katanya semasa siaran langsung pelancaran di Facebook UBSNT, semalam.

Menurutnya, penganjuran kali kedua tersebut menampilkan seramai 512 pasukan daripada seluruh negeri dengan 64 skuad setiap lapan daerah berentap dalam kejohanan secara atas talian tersebut.

“Antara hadiah bakal direbut pada Peringkat Daerah sehingga RM1,500 bagi Juara, Naib Juara sebanyak RM800 manakala tempat Ketiga RM500 dan Tempat Ke-4 RM250,” katanya lagi.

Menurut kenyataan penganjur, kejohanan bermula 24 September lalu sehingga 16 Oktober depan akan bersiaran setiap Jumaat dan Sabtu pada peringkat daerah.

“Pasukan empat Teratas setiap daerah akan ke peringkat seterusnya, yang akan mengumpulkan 32 pasukan terbaik Pejuang PUGBm Terengganu di Peringkat Grandfinal Offline,” jelasnya.