• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kelonggaran Pengoperasian UMT Berikutan Bencana Banjir

KUALA NERUS, 19 Disember- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengumumkan beberapa kelonggaran dan inisiatif terbaik bagi mengimbangi antara pengoperasian UMT dan kebajikan warga kampusnya memandangkan universiti tersebut turut terkesan dengan kejadian banjir yang melanda Terengganu ketika ini. 

Naib Canselor UMT, Prof Dato' Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, atas keprihatinan dan kecaknaan terhadap warga kampus, proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dijalankan secara dalam talian dan
tertakluk kepada perubahan yang akan dimaklumkan kelak.

"Aktiviti luar seperti kerja lapangan atau amali pula hendaklah dijadualkan semula kepada suatu tarikh yang bersesuaian, " ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, warga kerja UMT yang ditimpa bencana banjir boleh memohon cuti khas (cuti bencana) manakala warga kerja yang terjejas untuk hadir ke kampus/pejabat
disarankan untuk memohon Bekerja Dari Rumah (WFH) melalui Ketua Pusat Tanggungjawab masing-masing.

Menurut beliau, terdapat beberapa kawasan berdekatan kampus iaitu Kampung (Kg) Tok Jembal, Kg. Gong Pak Jin, Kg. Pak Tuyu, Kg. Jati dan beberapa kawasan lain yang rata-rata merupakan kawasan kediaman pelajar UMT luar kampus (rumah sewa) turut dinaiki air.

"Selain itu, beberapa kawasan di dalam kampus UMT turut dinaiki air dan menyebabkan Bahagian Keselamatan UMT meminda laluan sedia ada untuk memudahkan pergerakan warga kampus keluar dan masuk, " ujarnya. 

Justeru katanya, UMT amat menitikberatkan aspek keselamatan dan kebajikan warga kampus ketika situasi yang penuh mencabar ini.

"Melihat kepada pola hujan yang masih lagi melanda negeri Terengganu, warga UMT adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan.

"Pastikan senantiasa menjaga keselamatan diri serta patuh kepada nasihat pihak berkuasa demi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, " ujarnya. 

Katanya, pihak UMT juga menasihati para pelajar dan staf yang memerlukan bantuan dan pertanyaan, bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi Bilik Gerakan Banjir di talian 09-6685059/4118.