• 15 Mei 2024 | 7 Zulkaedah 1445

Kemahiran Pentadbiran MPKK Terus Diperkasa


Dr Azman Ibrahim.

Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 1 Oktober - Penerapan ilmu pentadbiran kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan terus diperkasa dari semasa ke semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, ia bagi mencapai hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan setiap pemimpin masyarakat lebih dekat dengan rakyat.

Walau bagaimapun, beliau menjelaskan, kemahiran MPKK dalam mengurus hal ehwal organisasi memerlukan sedikit masa untuk diasuh dan mencapai kejayaan.

“Tiada orang yang pegang sesuatu jawatan terus mahir dan pandai dalam semua segi, ada tempoh belajar dan memahirkan diri yang perlu dilalui, kerajaan terdahulu melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mentadbir 60 tahun berbanding kita yang baru setahun lebih.

“Sudah tentu ia tahap pengurusan itu berbeza, tetapi daripada segi semangat dan keterbukaan untuk berkhidmat kepada rakyat, MPKK telah menunjukkan kecemerlangan,” katanya di ‘Facebook’ rasminya hari ini.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, semangat itulah yang disemai dan diasuh supaya kemahiran anggota MPKK mampu ditingkatkan ke tahap yang lebih baik.

“Daripada semangat yang ada itu, kita akan manfaatkan, gunakan semangat itu untuk kita asah dengan kemahiran yang lain,” jelasnya.

Tambah beliau, dalam konteks Kerajaan Terengganu, Penghulu dan Pengerusi MPKK ialah orang yang berbeza.

“Penghulu ialah penjawat awam, bermula sebagai Penghulu Mukim kemudian boleh dinaikkan gred menjadi Penghulu Kanan, Penghulu Tinggi dan Penghulu Tertinggi.

“Pengerusi MPKK atau sebelum ini JKKK dilantik oleh pihak berkuasa negeri untuk tempoh dua tahun, selepas itu, pelantikan semula akan dibuat. 

Bidang kuasa perlantikan MPKK telah diputuskan oleh kabinet di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan di bawah MPKK ada lima belas ahli jawatankuasa,” tambah beliau.


Tag: