• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kemaman Daerah Terbaru Dilanda Banjir

KEMAMAN, 11 Disember – Tiga pusat penempatan sementara (PPS), di sini, kini diaktifkan  bagi menempatkan 284 mangsa banjir membabitkan 68 keluarga, pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, pembukaan PPS berkenaan menjadikan Kemaman daerah terbaru dilanda banjir selepas Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Besut.

Menurutnya, mangsa paling ramai ialah di Dewan Abd Rahman Limbong, Kemaman iaitu 235 mangsa daripada 51 keluarga diikuti SK Tok Jembal (133 mangsa, 33 keluarga).

“Di Kuala Terengganu, dua PPS yang dibuka ialah SK Atas Tol, (44 mangsa, 14 keluarga) dan SK Chendering (16 mangsa, 6 keluarga).

“Di Setiu pula, terdapat tiga PPS iaitu SK Kampung Seri Kasar (25 mangsa dari tujuh keluarga), Surau Mak Bakas (lapan mangsa, tiga keluarga) dan Balai Raya Kampung Bukit Nenas (13 orang dari empat keluarga),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, PPS yang diaktifkan bagi menempatkan mangsa banjir di Besut sudah ditutup berikutan keadaan banjir di daerah terbabit semakin pulih.

Susulan pembukaan PPS berkenaan, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat kepada 599 orang membabitkan 154 keluarga sehingga jam 8 pagi tadi.