• 09 Okt 2024 | 06 Rabiul Akhir 1446

Kemaman Dipilih Tuan Rumah Karnival Beautiful Terengganu 2023

KUALA TERENGGANU, 21 Februari – Kemaman telah dipilih menjadi tuan rumah bagi Karnival Beautiful Terengganu (KBTM) 2023 yang bermula Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata karnival itu dijangka dihadiri lebih 100,000 pengunjung tempatan dan luar.

Katanya, penganjuran itu melalui usahasama antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT).

“Penganjuran KBTM 2023 siri kali kedua ini bakal berlangsung di Padang Astaka, Kemaman bermula 23 Februari hingga 26 Februari ini.

“Kemaman dipilih menjadi tuan rumah kerana mempunyai keunikan dan kepelbagaian produk pelancongan yang terdapat di daerah tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Karnival Beautiful Terengganu di Dewan Ghurfah, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Fadhli Yusof Zakaria

Tambah Affin Deraman, KBTM ini diadakan bertujuan untuk menonjolkan kepada semua bahawa Terengganu kaya dengan pelbagai produk dan destinasi percutian yang menarik.

“KBTM disenaraikan antara 17 acara ikonik daripada 100 aktiviti yang dirancang dalam Kalendar Acara Tahunan (COE) 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu dan menjadi 'kick start' event bagi merancakkan kembali industri pelancongan negeri.

“Penganjuran acara sebegini secara tidak langsung memberi impak ekonomi yang positif kepada penduduk sekaligus rantaian ekonomi itu diperluaskan sehingga semua pihak turut merasai manfaatnya,” katanya.

Sementara itu ujarnya, pelbagai pengisian menarik disajikan kepada pengunjung yang hadir antaranya pertunjukan kebudayaan, demonstrasi kebudayaan, pertunjukan bunga api, permainan rakyat dan sebagainya.

"Turut disediakan 80 gerai jualan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pameran intraktif agensi, permainan tradisional, program keagamaan, persembahan kebudayaan, pameran dinosaur, demontrasi seni budaya & warisan dan cabutan bertuah,” ujarnya.

Di samping tambah beliau, sebanyak 10 jabatan kerajaan dan agensi swasta terlibat membuka ruang pameran karnival itu di mana masing-masing tampil dengan aktiviti kreatif, berinformasi dan interaktif.

 


Tag: