• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kemaman Keluarkan 87 Peratus Golongan Miskin

Taklimat pembangunan di daerah Kemaman turut disertai oleh Dato' Wan Nawawi dan pegawai-pegawai di Kemaman. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Kemaman mencatatkan daerah yang berjaya menurunkan kadar miskin tertinggi, berbanding daerah-daerah lain di seluruh Terengganu, iaitu 87 peratus kepada 107 orang sehingga 22 Disember lalu, berbanding 828 orang yang direkodkan pada Januari tahun ini .

Pegawai Daerahnya, Rosman Roslan berkata, 721 orang yang berjaya diturunkan adalah menerusi pelbagai gerak kerja yang bersepadu dan intensif termasuk proses pemutihan kategori miskin di daerah berkenaan.

Rosman Roslan

Melalui statistik kemiskinan yang dikeluarkan oleh e-Kasih, Kemaman mempunyai sifar miskin tegar dan hanya 180 orang miskin.

“Antara yang dilakukan adalah melakukan makmal penyelerasan agensi pelaksana bagi proses pemutihan kategori miskin dalam sistem e-Kasih yang diadakan setiap Khamis serta adakan mesyuarat pelarasan penghulu mukim secara berkala setiap bulan bagi verifikasi maklumat miskin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Taklimat Khas Sempena Lawatan Kerja Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Ke Daerah Kemaman di Pejabat Daerah dan Daerah Kemaman, hari ini.

Kemaman adalah daerah kedua dalam siri lawatan kerja SUK selepas lawatan perintis ke Hulu Terengganu pada minggu lepas.


Sebelum taklimat, SUK, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail turut merasmikan Kaunter Bergerak Unit Hasil Pejabat Tanah Kemaman.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ A Rahman Yahya dan Ketua-ketua jabatan di Daerah Kemaman.

Dalam taklimat tersebut juga, Rosman turut membentangkan pembangunan semasa dan sudah siap di Kemaman.

Antara projek yang sedang giat dijalankan adalah pembangunan Lembangan Bersepadu Sungai Kemaman dengan kos projek RM300 juta, Rancangan Tebatan Banjir Kemasik (RM60 juta), Naik Taraf Zoo Kemaman Fasa II (RM50 juta) serta Pembangunan Bandar Baru Kijal (RM30 juta).

Bagi projek yang telah siap pula merupakan Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Kijal, Masjid Gong Chengal, Sekolah Menengah YT Imtiaz Kijal, Pemecah Ombak Kuala Kemaman dan Darul Iman Training Center.


Tag: