• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kemaman Paling Teruk Terjejas

KUALA TERENGGANU, 7 Januari - Kemaman kekal menjadi daerah paling teruk terjejas banjir di negeri ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, setakat pukul 10 pagi ini, seramai 5,368 mangsa daripada 1,296 keluarga dipindahkan ke 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah berkenaan.

“Di Dungun pula, seramai 849 mangsa daripada 244 keluarga kini ditempatkan di sembilan PPS selepas kediaman mereka dinaiki air.

“Sementara, Hulu Terengganu, 3 PPS dibuka bagi menempatkan 200 mangsa daripada 60 keluarga,” ujarnya.

Che Adam berkata, Besut menjadi daerah terbaharu dilanda banjir awal pagi ini di mana 2 PPS dibuka dengan menempatkan 94 mangsa daripada 23 keluarga.

Katanya, mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 6,511 penduduk daripada 1,623 keluarga melibatkan empat daerah di negeri ini.

“Berdasarkan keadaan semasa, cuaca kelihatan mendung dan kadang-kadang hujan di beberapa tempat.

“Manakala,beberapa lembangan sungai utama di negeri ini menunjukkan trend menurun di sebelah hulu,” ujarnya.