• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kematian Pertama Akibat Keracunan Puding Buih

KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Mangsa keracunan puding buih yang dibeli secara atas talian pada 22 Mei lalu dilaporkan meninggal dunia pukul 10.40 pagi tadi.

Gadis berusia 25 tahun dari Marang itu menghembuskan nafas terakhir selepas menerima rawatan selama 10 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Kematiannya dipercayai berpunca daripada kegagalan multiorgan akibat kejutan sepsis.

Difahamkan beberapa ahli keluarganya turut dirawat di HSNZ kerana mengalami keracunan makanan yang sama.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak yang dihubungi sebentar tadi mengesahkan kematian pertama akibat puding terbabit.

Katanya, siasatan terperinci dan tindakan lanjut telah dikenakan ke atas peniaga puding buih berkenaan.

“Bagi pihak kerajaan negeri kami bersimpati dengan tragedi terbabit dan kita harap mereka tabah dan sabar.

“Kita ingatkan kepada orang ramai terutama peniaga dan pengendali makanan agar lebih berhati-hati kerana ia melibatkan keselamatan dan boleh mengancam nyawa,” katanya.

Tegas beliau, kerajaan juga telah merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada peniaga yang menjual makanan dari rumah supaya lebih menitikberatkan aspek kebersihan kerana ia membabitkan nyawa.

“Walaupun ia merupakan kes yang berisiko kepada sesiapa sahaja ia juga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya lagi.

Minggu lalu, seramai 99 mangsa dikejarkan ke HSNZ apabila mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih yang dibeli secara atas talian.