• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Kempen 'Masjid Merindui Anda' Bangkitkan Rasa Cinta Solat Berjemaah

KEMAMAN, 9 Februari – Kempen 'Masjid Merindui Anda' sempena sambutan Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) sepanjang bulan Rejab berjaya membangkitkan rasa cinta terhadap solat berjemaah dalam kalangan masyarakat

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata kempen itu bertujuan menyampaikan mesej tentang kepentingan menjaga solat dan menyemarakkan rasa cinta untuk solat berjemaah di masjid berupaya menarik anak-anak muda.

“Kempen ini penting bagi menyemai rasa cinta dengan solat berjemaah. Anak-anak muda mesti berada di saf hadapan. Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan menyemai semangat cintakan masjid sejak dari usia kecil lagi.

“Didiklah hati anak-anak kita sejak kecil lagi agar mereka dekat dengan masjid dan mencintai solat berjemaah. Jangan sampai menginjak di usia tua baru nak berjinak-jinak dengan masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siri Jelajah BPIS di sekitar Kerteh di sini semalam.

Turut serta sepanjang jelajah tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Saiful Azmi Suhaili dan Pengarah Akademi Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.

Tambah Mohd Nor, pihaknya turut menghadapi beberapa cabaran dalaam mengajak masyarakat memenuhi masjid.

"Jadi saya juga menyeru kepada ahli jawatankuasa masjid menggunakan inisiatif dan kreativiti mengikut sosio-budaya masing-masing dalam usaha penduduk setempat terpaut dengan masjid," jelasnya.


Tag: