• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Kenaikan Tarif Air Tidak Bebankan Pengguna Berpendapatan Rendah



KUALA TERENGGANU, 5 Januari- Kerajaan Terengganu memberi jaminan bahawa kenaikan tarif air di negeri ini tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya masih dalam proses meneliti cadangan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dalam menentukan tarif air di Terengganu dengan mengutamakan kesan kenaikannya kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

“Tetapi kita masih lagi belum sahkan setakat mana kenaikan itu, masih ada dalam pertimbangan dan ianya akan diumumkan oleh pihak kementerian bila pelaksanaannya.

“Sebelum adanya pelaksanaan itu, kita masih lagi menimbangkan perkara ini selepas mengambil kira kadar tarif di negeri ini tidak pernah disemak lebih 20 tahun lalu.

“Sekiranya berlaku kenaikan, jaminan kita ialah ianya tidak membebankan kepenggunaan domestik kategori B40,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu kenaikan tarif air selepas menyempurnakan majlis penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Rayuan Negeri Terengganu Sesi 2019 hingga 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, kenaikan tarif air di negeri ini lebih berfokus untuk kawasan industri dan beberapa penggunaan berskala besar seperti sektor perkapalan.

Tag: