• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

'Kenangan Kami Redah Banjir Untuk Majlis Akad Nikah'

HULU TERENGGANU, 26 Februari -Sepasang pengantin baharu, Zaleha Ahamad, 25, dan pasangannya, Sayed Khalil Khusairi Tuan Hamzah, 26, tidak membiarkan banjir yang melanda menghambat rancangan majlis perkahwinan mereka.

Zaleha berkata, dia tetap mengharung banjir paras betis untuk menuju ke masjid bagi melangsungkan majlis pernikahannya pagi ini.

Katanya, majlis akad nikah sepatutnya diadakan di rumahnya di Kampung Matang namun terpaksa bertukar lokasi ke masjid kerana rumah keluarga dinaiki air lebih satu meter sejak semalam.

"Mengikut perancangan asal, selepas bernikah, saya dan suami terus bersanding di rumah namun apakan daya, ia terpaksa dibatalkan.

"Tak sangka majlis pernikahan yang sepatutnya menjadi kenangan indah seumur hidup bertukar menjadi begini," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Menurutnya, perasaan sedih tidak dapat digambarkan kerana itu majlis persandingan di pihak sebelah dirinya dan tidak menyangka kejadian ini berlaku dengan sekelip mata.

"Kita dah rancang sebulan lepas dengan anggapan banjir sudah selesai. Namun, saya fikir positif bahawa pengalaman mengharung banjir ini akan menjadi sesuatu yang manis untuk kami kongsikan pada anak cucu nanti," ujarnya lagi.

Tambah anak keempat dari enam beradik ini, khemah kenduri yang dipasang di perkarangan rumah juga turut dialihkan di atas jalan dan kira-kira 150 jemputan hadir memeriahkan majlis perkahwinannya.