• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kenderaan Di LPT 2 Dijangka Meningkat

KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Lebuh Raya Pantai Timur 2 Sdn. Bhd. (LPT2) menjangkakan berlaku peningkatan antara 38,000 hingga 45,000 kenderaan setiap hari di lebuh raya itu apabila perjalanan antara negeri dibenarkan semula nanti.

Pengurus Perniagaan Wilayah LPT2, Suhaimi Samat berkata, secara asasnya LPT2 sudah bersedia berdepan dengan peningkatan jumlah kenderaan itu termasuk dari segi petugas di lapangan dan 10 plaza tol yang terdapat di sepanjang lebuh raya.

"LPT2 menjangkakan ramai penduduk daerah ini akan merebut peluang yang sudah sekian lama ditunggu untuk melancong dan berhubung semula dengan keluarga dan sahabat handai di negeri-negeri lain," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Ahad.

Menurut Suhaimi, semua kemudahan awam di R&R dan Hentian Sebelah LPT2 sentiasa dibersihkan mengikut jadual pembersihan yang ketat sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang LPT2 untuk memastikan kebersihan dikekalkan kerana kemudahan seperti surau dan tandas dibuka 24 jam sehari.

Beliau berkata, kakitangan LPT2 terdiri daripada LPT2 Ronda, pasukan keselamatan dan penyelenggaraan lebuh raya serta kakitangan perkhidmatan pelanggan di lebuh raya sepanjang 184 kilometer sentiasa bersedia bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna.

Selain itu katanya, kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meningkatkan penguatkuasaan di lebuh raya juga memberi keyakinan kepada pelanggan lebuh raya.

"Dengan 89.4 peratus daripada penduduk dewasa kita telah divaksin sepenuhnya setakat 8 Oktober, kami menjangkakan pengumuman yang ditunggu-tunggu akan diputuskan segera. 

"Walau bagaimanapun, kami tetap mengingatkan semua yang telah lengkap divaksin untuk terus mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Ini termasuklah menunjukkan status MySejahtera, memakai topeng muka berganda yang betul, mengekalkan penjarakan fizikal, dan menggunakan pembersih tangan apabila berhenti untuk berehat di lima R&R dan empat Hentian Sebelah kami," katanya.

 


Tag: