• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Keputusan Terengganu Bubar DUN Atau Tidak Diketahui Esok

KUALA TERENGGANU, 12 Oktober- Keputusan sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dibubarkan atau tidak akan diketahui esok (Khamis) selepas Mesyuarat Jawatankuasa Penuh PAS Pusat.

Begitu juga dengan dua lagi negeri di bawah pentadbiran kerajaan PAS iaitu Kedah dan Kelantan.

Naib Presiden PAS , Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas pada pagi semalam (Selasa) memutuskan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk membuat kenyataan rasmi mengenai perkara itu.

“Saya difahamkan perkara yang dibincangkan semalam akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Penuh PAS Pusat pada pagi esok di Pejabat Agung  PAS di Kuala Lumpur.

“Jadi akan ada pengesahan esok kerana tidak ada lagi perbincangan mengenai pembubaran DUN selepas ini, apa-apa keputusan kita akan tengok esok ,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Pegawai Tadbir negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam pada itu beliau mengesahkan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin namun tidak mengusulkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

“Majlis menghadap hari ini hanyalah pertemuan rutin membincangkan hal berkaitan pentadbiran negeri sebelum mesyuarat mingguan exco negeri sepertimana sebelum-sebelum ini,” ujarnya.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu berkata, Terengganu memutuskan untuk tidak membubarkan DUN jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Tegas beliau, DUN Terengganu tidak akan dibubarkan sebelum Mac 2023 walaupun berlaku pembubaran di peringkat parlimen.