• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Keracunan Makanan : 'Kerajaan Akan Ambil Tindakan Tegas'

KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Kerajaan Terengganu tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas terhadap penggiat pelancongan di negeri ini sekiranya terbukti mengabaikan keselamatan dan kebajikan pengunjung di premis masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya memandang serius isu pelancong sakit atau mengalami keracunan makanan dan cirit birit selepas bercuti di Pulau Perhentian yang tular di media sosial.

Katanya, sehubungan dengan itu beliau telah mengarahkan agensi terlibat segera menjalankan siasatan untuk mencari dan menilai punca kejadian itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menjelaskan isu sebenar yang telah berlaku dan laporan penuh akan menyusul apabila siasatan lengkap. 

“Pihak kerajaan tidak teragak-agak menggunakan segala tindakan perundangan sedia ada dengan tegas jika ada premis tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan memandangkan isu-isu sebegini boleh memberi kesan kepada sektor pelancongan negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama katanya, bagi mengatasi isu aduan sistem kumbahan di Pulau Perhentian pula, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar (KASA) dalam usaha untuk membina Loji Kumbahan Bersepadu bagi menangani isu-isu berkaitan pencemaran kumbahan. 

“Susulan daripada aduan sebelum ini, pihak KASA dengan kerjasama Indah Water Konsortium sedang dalam tindakan menjalankan Pelupusan Enapcemar secara keseluruhan di Pulau Perhentian.

“Pihak Jabatan Alam Sekitar Terengganu juga sentiasa menjalankan program pengawasan kualiti air marin secara berkala di Pulau Perhentian dan bagi keputusan pengawasan kualiti air marin pada Jun sehingga September 2022 telah menunjukkan kualiti air pada tahap yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sangat komited dalam menjaga keselesaan dan keselamatan pelancong yang datang bercuti di pulau-pulau peranginan di Terengganu. 

“Hal-hal yang mendatangkan kesan tidak baik kepada pelancong dan pengunjung di negeri ini akan diberi perhatian dan diambil tindakan yang sewajarnya demi memastikan kelangsungan sektor pelancongan negeri Terengganu,” jelasnya.