• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kerajaan Akan Pastikan Bekalan Air Mencukupi

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Kerajaan negeri melalui Syarikat Air Terengganu (SATU) dan pelbagai agensi serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) sedang berusaha untuk memastikan bekalan air kepada penduduk mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, orang ramai dinasihatkan tidak  gusar serta bersabar menghadapi krisis yang berlaku pada ketika ini.

"Pelbagai NGO juga pada waktu ini termasuk Pusat Khidmat Malaysia Kuala Terengganu akan menghantar bantuan air sebanyak dua treler bermula esok.

"Serta bantuan dari seluruh negeri dan beberapa negeri lain juga sedang dalam perjalanan bagi membantu meringankan permasalahan air di semua tempat yang terlibat, untuk itu saya menasihatkan agar rakyat pada waktu ini perlu berjimat cermat dalam penggunaan air dalam masa sekarang ini," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian ketika dihubungi pihak Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Katanya, ketika tinjauan pihaknya berpuas hati dengan kerja-kerja pembaikian yang sedang dilakukan di lapangan bermula kelmarin.

"Pihak kontraktor yang dilantik SATU, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah memulakan kerja bermula kelmarin lagi, 24 jam mereka bekerja dan berkampung di sini dengan kekuatan seramai 20 anggota sehingga kerja-kerja membaik pulih selesai.

"Pusat khidmat ADUN Wakaf Mempelam bermula pada petang ini akan membekalkan makanan kepada 20 orang pekerja yang terlibat dengan menyediakan sarapan pagi, makan tengahari dan juga petang sehingga kerja membaik pulih paip ini selesai. 

"Dijangka kerja-kerja penyelesaian sementara ini akan disiapkan dalam masa beberapa hari ini," ujarnya.

Jelasnya, pihak beliau juga telah diberi taklimat mengenai punca sebenar masalah berlaku.

"Saya telah dibawa meninjau tempat punca masalah tersebut, diberikan penerangan bagaimana kerosakan paip tersebut yang ditanam dalam dasar sungai itu rosak yang mengakibatkan terputusnya bekalan air ini.

"Juga mendengar taklimat daripada kontraktor bagaimana untuk menjalankan kerja-kerja pembaikian dan diberikan penjelasan bagaimana untuk melakukan gerak kerja bagi memastikan bekalan air kepada seluruh penduduk terkesan dapat diatasi untuk sementara waktu ini," ujar beliau.

 


Tag: