• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Bakal Bina Kompleks Stesen Bas Bernilai RM17 Juta di Jerteh

KUALA TERENGGANU, 2 September - Kerajaan Negeri dalam usaha untuk membina projek mega di bandar Jerteh iaitu Kompleks Stesen Bas dan Kereta Sewa yang bernilai anggaran RM17 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor berkata projek tersebut dijangka bakal dijalankan pada Januari 2024.

Katanya, Kompleks Stesen Bas dan Kereta Sewa itu bakal menjadi mercu tanda baru bagi bandar Jerteh sekali gus merancakkan lagi sosio ekonomi di daerah itu.

“Jalan empat lorong juga akan dibina bermula daripada 'Nasken Coffee' sehingga ke Seberang Jerteh bagi memudahkan orang ramai.

“Selain itu, penambahbaikan juga akan dijalankan terhadap jambatan-jambatan utama Jerteh yang kebiasaannya mengalami jem yang teruk terutamanya pada musim cuti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam Bicara Khas TV Darul Iman di sini baru-baru ini.

Tambah Dr Riduan, Jerteh juga akan dibangunkan dengan lebih terancang dan efektif.

Katanya, banyak pembangunan pasar raya atau gedung perniagaan milik muslim yang berpatutan dengan syariat Islam akan diwujudkan.

“Pembangunan tersebut seperti pasaraya Mydin, Sabasun dan sebagainya yang akan dibina di bandar Jerteh.

“Saya berharap segala aktiviti perniagaan akan berjalan dengan baik di bandar ini.

“Segala ungutan yang kami terima akan ditangani dengan baik dan saksama,” ujarnya.


Tag: