• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Perketat Operasi Taska

KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Kerajaan Terengganu bakal memperketatkan syarat kemasukan dan prosedur perlesenan taman asuhan kanak-kanak (Taska) di negeri terbabit bagi mengelakkan kejadian dera berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata langkah itu diambil susulan kes dera yang dilaporkan terjadi di sebuah Taska di daerah ini semalam.

Ujar beliau, pihaknya melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) turut meneliti pantauan terhadap 70 Taska di bawahnya.

“Kerajaan negeri memberi jaminan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan semua pengasuh di taska peringkat kerajaan, PERMATA ditapis sebelum di ambil bekerja.

“Kita juga akan perketatkan lagi syarat kemasukan dan prosedur perlesenan taska bagi mengelakkan hal sama berulang,” katanya kepada media selepas Majlis Menandatangani Surat Anugerah (LOA) Projek Pembangunan Mini Hidro 3.0 MW Sungai Pelagat, Besut di Hotel primula, di sini hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa buat masa ini kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kes terbabit kepada pihak Polis.

“Sekarang Kerajaan Negeri sedang menunggu hasil siasatan oleh pihak Polis dan tiga individu telah ditahan semalam,” tambahnya.

Semalam, seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma dipercayai akibat didera pengasuhnya di sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Buruk.


Tag: