• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Bantu Rakyat Dihentikan Kerja

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Rakyat di negeri ini yang kehilangan pekerjaan ketika pandemik Covid-19 dibimbing kerajaan dengan kemahiran tertentu bagi membolehkan mereka mencipta peluang kerja.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kursus tersebut adalah hasil usaha sama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Kolej Komuniti Kuala Terengganu. 

“Hari ini kita meraikan 20 peserta program asas dari daerah Kuala Nerus yang telah berjaya menamatkan modul yang disusun.

“Program yang disusun ini adalah kerjasama institusi pendidikan bersama agensi Kerajaan (i-MiTS) bertujuan mengenal pasti kesejahteraan mental dan kewangan pekerja diberhentikan akibat Covid-19 dan memberikn latihan kemahiran baharu kepada peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Program Asas Kemahiran Komuniti-Kolaborasi UMT, I-MiTS dan Kolej Komuniti Kuala Terengganu di Hotel Permai Inn, Batu Burok di sini baru-baru ini.

Kaedah pelaksanaan program tersebut melibatkan kesihatan mental, pengurusan kewangan diri dan keluarga, ilmu latihan kemahiran keusahawanan dan pemasaran.

Turut hadir Pengarah i-MiTS, Kamaruzaman Abdullah; Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Prof Madya Dr Suriyani Muhamad dan Pengarah Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Ali Mamat.


Tag: