• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Berkolaborasi Dengan PETRONAS Bangun Bandar Baharu Kertih


 
Satu Pemandangan Di Bandar Baharu Kertih. -Gambar Hiasan.

KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Kerajaan Negeri sedang menyediakan pelan gunatanah yang bersesuaian melalui Rancangan Tempatan Daerah 2018-2035 bagi menyokong rancangan PETRONAS untuk membangunkan pusat operasi pantai timur syarikat minyak itu dengan wajah baharu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri menyelaras perancangan dengan PETRONAS dalam pembangunan Bandar Baharu Kertih dengan menyediakan pelan gunatanah bersesuaian seperti perniagaan, industri, perumahan dan kemudahan awam melalui rancangan tersebut.

"Di samping itu perancangan pembangunan kemudahan infrastruktur juga diambil perhatian dalam menyokong cadangan pembangunan oleh PETRONAS, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan sebagainya," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dalam Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.

ADUN itu dalam soalannya menyatakan bahawa pembangunan dan menambahbaikan Bandar Baharu Kertih perlu dibuat sebagai katalis bagi merancakkan lagi pembangunan dan pengembangan industri minyak dan gas di Terengganu.

Justeru beliau ingin tahu perancangan kerajaan dalam menjadikan ia sebagai satu bandar satelit berasaskan minyak dan gas serta biopolymer.

Katanya merujuk kepada pembentangan oleh pihak PETRONAS di bawah anak syarikatnya KLCC Harta bahawa pusat operasi pantai timur PETRONAS akan dibangunkan dengan wajah baharu termasuk mengambil kira unsur dan keperluan teknologi hijau dalam pembangunannya.

Justeru sekali lagi beliau ingin tahu perancangan kerajaan negeri untuk turut sama dalam membangunkan wajah baharu Bandar Baharu Kertih itu.


Tag: