• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Kerajaan Berusaha Atasi Islamophobia Di Malaysia

PUTRAJAYA, 28 Oktober - Kerajaan sentiasa berusaha memberi kefahaman serta gambaran jelas mengenai Islam bagi mengatasi isu islamophobia terhadap pelaksanaan syariat dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Menteri Di Jabatan perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, susulan itu pemerkasaan dakwah sedang giat dilakukan melalui pelbagai ruang dan medium untuk menerangkan kepada masyarakat agar melihat bahawa Islam merupakan ajaran serta cara hidup yang sempurna meliputi segala aspek dalam kehidupan.

"Alhamdulillah dalam aspek mengembangkan dakwah kita mengambil peluang menerusi slot ruangan agama dalam TV Al-Hijrah termasuk RTM untuk kita menceritakan tentang Islam yang syumul melalui pelbagai kaedah dan program yang telah kita aturkan.

"Itu antara perkara yang kita akan lakukan dalam usaha untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat, maka saya telah mengarahkan untuk mewujudkan program dengan pengisian yang bermanfaat menerusi saluran di televisyen, di samping akan melibatkan pakar-pakar tentang perundangan Islam untuk mendedahkan pengetahuan dan memberikan gambaran tentang hukum Islam.

"Selain itu kita akan menganjurkan seminar mengenai tentang hukum sebat(rotan) mengikut acuan Islam yang ternyata lebih mendidik masyarakat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPD) selepas menerima kunjung hormat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah , di Kompleks Islam Putrajaya, baru-baru ini.

Dalam pada itu Idris Ahmad berkata setiap anggota masyarakat perlu memilki ilmu yang lengkap agar tidak timbul kecelaruan dan kepincangan dalam beragama serta tidak mudah terjebak dengan ideologi dan pemikiran bertentangan dengan ajaran Islam.

"Sebagaimana yang Allah firmankan dalam surah Al-Alaq yang menyarankan agar kita melengkapkan diri dengan ilmu agar tidak berpendirian kepada perkara yang tidak diketahui akan sumbernya. Kita mesti tegakkan prinsip dalam diri kita di atas dasar ilmu.

"Ilmu ini pula kena mengaji dengan guru yang mursyid, guru yang mengajar dan beramal dengan ilmunya barulah akan dapat melakukan amalan dengan cara yang tepat. Jangan belajar ilmu di tempat-tempat yang kita tidak tahu puncanya di mana," ujarnya.

Sebaliknya menurut beliau ilmu agama perlu dipelajari di tempat yang khusus serta ilmu perlu diamalkan untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.


Tag: