• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Kerajaan Bina 587 Rumah Baru di Teluk Kalong

KEMAMAN, 13 September- Projek pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) dan bercampur bernilai RM102.7 juta akan dibina di kawasan Teluk Kalong melibatkan kerjasama antara kerajaan negeri dan pihak pemaju iaitu Syarikat Arus Juta Sdn. Bhd.

Projek berkenaan akan dibangunkan di atas tanah seluas 57.94 ekar dalam tempoh lima tahun melibatkan dua fasa bermula Julai tahun lalu dan dijangka siap menjelang Julai 2026.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembangunan tersebut merupakan salah satu usaha bagi merealisasikan kehendak rakyat yang selama ini berhajat memiliki kediaman sendiri.

Jelasnya, kerajaan negeri juga telah mengambil inisiatif bagi menangani masalah banjir yang sering berlaku di kawasan tersebut bagi memastikan kawasan itu selamat untuk diduduki setelah perumahan berkenaan siap mengikut masa yang telah ditetapkan.

"Kita dimaklumkan oleh pihak pemaju bahawa tanah di kawasan ini perlu ditambah lagi dengan ketinggian lima kaki setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengelakkan kawasan ini daripada tenggelam.

"Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memaklumkan akan meneruskan proses pembinaan jambatan  dengan peruntukan RM12.5 juta yang akan disiapkan dalam masa 18 bulan bermula Oktober ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Perasmian Pecah Tanah Pembangunan RMM dan Bercampur di kawasan Teluk Kalong, di sini hari ini.

Untuk rekod, komposisi pembangunan yang dijalankan oleh syarikat Arus Juta Sdn Bhd itu membabitkan RMM jenis A yang bernilai RM80,000 sebanyak 123 unit dan Jenis B (RM185,000) sebanyak 361 unit yang direkabentuk mengikut spesifikasi Rumah Darul Iman (RAHMAN) merangkumi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Bagi pembangunan komersial pula bakal memberi peluang kepada golonagn M40 dan T20 untuk mendiami kawasan berkenaan dua jenis rumah teres dua tingkat (RM295,000)  dibina sebanyak 103 unit serta turut didirikan bangunan kedai pejabat satu tingkat (RM395,000) dibina sebanyak 14 unit.