• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Bina Rumah Baharu Mangsa Kebakaran

KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu akan menguruskan pembinaan rumah baharu bagi kakitangan Bahagian Khidmat Pengurusan yang menjadi salah seorang mangsa kebakaran di Kampung Panji, Jumaat lalu.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, Pejabat SUK menerusi Sekretariat Tabung Darul Iman akan menguruskan bantuan membina rumah baharu bernilai RM60,000 di atas tanah milik mangsa, Sulaini Said, 55, di Kampung Banggol Tok Ku yang dijangka akan mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan.

Terdahulu, tragedi malang menimpa Sulaini yang kehilangan tempat tinggal yang sudah didiami sejak 21 tahun turut meruntun perasaan Tengku Seri Bijaya Raja.

Beliau bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Anuar Awang dan beberapa pegawai turun menziarah sambil memberi kata-kata semangat kepada mangsa di Kampung Panji disini, semalam.

"Saya turut berdukacita dengan apa yang menimpa Sulaini dan berharap supaya sentiasa positif dengan apa yang terjadi. Tidak lupa juga melihat dugaan terselindung hikmah tersendiri. Saya juga kenal Sulaini sebagai staf yang sentiasa tersenyum," katanya.

Dalam kunjungan itu, beliau turut menyampaikan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, sumbangan daripada warga Wisma Darul Iman berjumlah RM5,500, Kelab Wisma Darul Iman (RM1,000) dan hamper barangan dapur (Kelab Helang).

Lawatan itu juga membawa berita gembira buat Sulaini sekeluarga apabila Pejabat SUK menawarkan untuk menguruskan pembinaan rumah baharu.

Difahamkan, dalam kejadian kebakaran di Kampung Panji, Jumaat lalu seramai 20 orang daripada empat keluarga terpaksa menyambut Aidiladha tahun ini  dalam suasana suram apabila rumah mereka hangus dijilat api.

Bagaimanapun kebakaran yang berlaku pada pukul 11.30 pagi itu tidak melibatkan sebarang kecederaan.