• 27 Sept 2021 | 19 Safar 1443

Kerajaan Bina Rumah Baharu Untuk Keluarga Mangsa Kebakaran

KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Kerajaan negeri akan membina rumah baharu untuk keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Losong Haji Su, di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed berkata, pembinaan kediaman itu adalah melalui peruntukan Tabung Darul Iman.

“Di samping itu kita juga melalui Pusat Khidmat Masyarakat telah memberi sumbangan segera berbentuk bantuan kewangan.

“Kerjasama melalui pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) turut digerakkan bagi membantu keluarga, alhamdulillah setakat ini sekitar RM60 ribu telah disalurkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga mangsa kebakaran rumah bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Kampung Losong Haji Su hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Sementara itu, Ahmad Samsuri memaklumkan pihaknya akan menilai dan memperincikan kerugian yang dialami keluarga terbabit bagi menyalurkan bantuan lain.

“Kita akan tengok nilai dulu apa yang boleh dibantu, sudah tentu bantuan segera ini akan dipantau oleh jawantakuasa kebajikan, yang lain saya akan tunggu maklumat dari ADUN setelah bincang dengan keluarga itu,” katanya.

Pada 7 Jun lalu, seorang warga emas rentung manakala suaminya melecur selepas kediaman terbakar.

Dalam insiden kira-kira jam 10.35 pagi itu, mangsa Fatimah Mohd, 79 tahun, maut selepas terperangkap di dalam kediaman yang dihuni bersama suaminya itu.

Kebakaran juga menyebabkan suaminya, Jusoh Muda, 82 tahun, melecur kira-kira 30 peratus di bahagian kaki serta belakang badan, dia dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah selama dua hari dan dilaporkan meninggal dunia pagi tadi.


Tag: