• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Bina Rumah Patuh Syariah Untuk Nelayan Kemaman

KEMAMAN, 21 Disember - Janji kerajaan negeri untuk menyediakan 50 unit kediaman selesa dan patuh syariah  membabitkan peruntukan RM7.3 juta kepada nelayan di daerah ini terlaksana.

Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Pulau Sekepeng di sini melalui peruntukan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu akan dibina bermula Januari tahun depan dan dijangka siap April 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata projek itu dibangunkan di kawasan seluas 13.7 ekar dengan setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur, dapur, ruang tamu dan dua bilik air berkeluasan 800 kaki persegi.

Katanya, setiap pemilik rumah hanya perlu membayar secara bulanan RM184 sahaja berdasarkan harga subsidi yang ditawarkan RM54 ,000 berbanding kos yang perlu ditanggung RM148,000 bagi setiap unit rumah.

“Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan menentukan siapa yang layak. Keutamaan menduduki rumah akan diberikan kepada mereka yang memiliki lesen nelayan pantai, sudah berkeluarga, masih menumpang di rumah keluarga atau menyewa,” katanya..

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman selepas Majlis Perasmian PSN di Dataran Kuala Kemaman, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional  merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat.

Dr Azman turut memberitahu, sebelum ini MAFI  mengumumkan peruntukan sebanyak RM13 juta untuk PSN melibatkan tiga daerah iaitu Kemaman, Setiu dan Besut.

“Kos keseluruhan bagi  tiga projek iaitu  di Pulau Sekepeng, Kemaman;  Seberang Penarik, Setiu dan Benting Lintang, Besut berjumlah  RM29 juta.

“Perutukan RM13 juta disalurkan Mafi melalui LKIM dan selebihnya iaitu RM26 juta akan ditanggung kerajaan negeri di mana RM16 juta untuk pembinaan rumah dan RM10 juta disediakan untuk kerja-kerja tapak,” katanya.

Katanya, setiap daerah akan dibina 50 unit rumah PSN dan akan ditambahkan secara berperingkat-peringkat pada masa akan datang, bergantung kepada peruntukan yang ada.

“Kerajaan negeri berusaha tanpa putus asa semata-mata mahu melihat nelayan di negeri ni hidup lebih selesa.

“Dalam tempoh tiga tahun ini, pelbagai pengagihan bantuan diagih kepada nelayan, antaranya  membina dan membaik pulih jeti,  menyediakan pelbagai kelengkapan menangkap ikan dan melabuhkan tukun,” katanya.

 


Tag: