• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Kerajaan BN Terus Martabat Bidang Pendidikan- Mahadzir

Mahadzir ketika melancarkan Majlis Pecah Tanah Pejabat Pelajaran Daerah Marang di Marang,


Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini meneruskan agenda pembangunan pendidikan anak bangsa yang dibina sekian lama.

Menteri Pendidikan Malaysia, Dato' Seri Mahadzir Khalid berkata, Pendidikan menjadi budaya dalam negara kita sejak 60 tahun yang lalu.

"Hari ini, menjadi satu kemestian untuk ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah.

"Ini adalah usaha keras kerajaan dan rakyat. Untuk meneruskan kemajuan ini, kita perlukan kestabilan dalam negara.

"Ianya mesti didahului dengan kestabilan politik, diikuti ekonomi, keselamatan dan sebagainya," katanya ketika melancarkan Majlis Pecah Tanah Pejabat Pelajaran Daerah Marang di Marang, pagi ini.

Beliau hadir diiringi Exco Pendidikan Terengganu, A. Latiff Awang bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sempena lawatan kerja ke Terengganu.

Projek pembangunan Pejabat Pelajaran Daerah Marang itu melibatkan keluasan 2.947 hektar di mukim Rusila.

Projek ini dibangunkan secara berfasa di mana Fasa 1 melibatkan bangunan pentadbiran dan bangunan sokongan dengan kos berjumlah RM8,384,277.76 dijangka siap pada pertengahan tahun 2019.

Manakala, Fasa 2 melibatkan dewan serbaguna akan dibangunkan pada masa akan datang.

Turut hadir pagi tadi ialah Pegawai Daerah Marang, Mat Azmi Arshad, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin dan Pegawai Penyelaras DUN Rhu Rendang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku

Tag: